Jalaluddin Alias calon utama MB NS jika BN menang

TEKA-teki siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan (NS) jika Barisan Nasional (BN) memenangi PRN negeri itu terjawab apabila Pengerusinya Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, Datuk Seri Jalaluddin Alias, calon BN nombor satu untuk jawatan MB.

Bagaimanapun beliau menegaskan, pelantikan Menteri Besar tertakluk kepada perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Setiausaha Agung UMNO) kata ada 10 calon Menteri Besar, sepuluh ada kualiti bagus, betul? Tapi Jalal nombor satu, tertakluk kepada perkenan,” katanya dalam ucapan, semasa berkempen di Chennah, lapor FMT.

Beliau menekankan betapa bermakna kemenangan BN di Chennah.

“Saya harap tidak salah bacaan saya: kalau kita rampas Chennah, bererti kita merampas Negeri Sembilan. Begitu juga kalau kita kekalkan Linggi ‘confirm’ Negeri Sembilan bawah BN,” katanya.

Kedua-dua kerusi itu ditandingi oleh dua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) NS iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Chennah dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di Linggi.

Ketika berkempen di Kampung Tohor itu, Ahmad Zahid menepis kenyataan pemimpin DAP bahawa kerjasama BN dan Perikatan Nasional menunggu masa untuk karam.

Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh berkata kerjasama BN-PN tidak memiliki nilai ‘politik persahabatan’ kerana setiap pihak lebih mementingkan cita-cita sendiri untuk menguasai tampuk kepimpinan negara.

“Kita tengoklah siapa yang karam, siapa yang akan timbul pada 1 hari  bulan (Ogos) nanti,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN bertanding di 25 kerusi manakala PN 11, dan bertembung dengan Pakatan Harapan di semua 36 kerusi.

Sebelum itu, pada sidang media sama, Zahid menyifatkan ‘persefahaman’ antara BN dan PN berjalan sangat baik setakat ini, namun menambah masih banyak usaha yang perlu dilakukan itu memperkukuhkan ‘kebersamaan’.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img