
BEKAS Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menyesal membuat keputusan sebelum ini untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang menyaksikan beliau tewas kepada penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu turut reda dengan keputusan tersebut dan menyifatkan gabungan parti itu telah memberikan yang terbaik sepanjang dua minggu tempoh berkempen.
“Insya-Allah saya tidak ada rasa kecewa kerana ini adalah qada dan qadar Allah.
“Saya terima dan reda apa yang sudah berlaku, saya pasti ada hikmahnya, mungkin sampai masanya untuk saya lebihkan bersama anak dan cucu,” kata Naib Presiden PKR itu ketika ditanya mengenai kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Seremban malam ini.
Menurutnya, beliau juga tidak rasa menyesal kerana bertanding di Linggi berbanding di Sikamat sebelum ini walaupun menyedari kerusi berkenaan adalah kubu kuat BN.
“Saya tak pernah rasa menyesal (berpindah kerusi) kerana kalah dan menang itu sudah ditentukan Allah, namun saya rasa syukur kerana dapat didik anak bangsa yang nak berfikir.
“Teruskan lah buat yang terbaik. Jaga negeri, jaga anak bangsa. Pastikan lebih baik daripada apa yang saya bagi. Itu yang saya harapkan (kerajaan baharu),” katanya.






