NAIB Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 1 Ogos depan adalah perjuangan hidup dan mati gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk terus mengekalkan kuasa di negeri itu.
Sehubungan itu, beliau meminta semua jentera dan ahli parti gabungan PH agar memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada sesiapa sahaja calon yang dipilih pada PRN kali ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, adalah penting untuk seluruh anggota parti meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi kepentingan peribadi sekali gus mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan peluang kemenangan.
“Kepada semua jentera dan semua calon, tolong… ini perjuangan hidup dan mati kita. Jika nama kita tidak dipilih sebagai calon oleh parti, adakah tuan-tuan akan terus bekerja untuk menang?.
“Saya tidak mahu mendengar dari mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa ada pihak yang tidak menyokong calon yang diumumkan oleh pimpinan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan di Seremban malam ini, lapor Sinar Harian.
Turut hadir Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, setiap ahli parti perlu menerima keputusan pucuk pimpinan dengan hati terbuka serta mengelakkan sebarang bentuk pengkhianatan seperti mana yang telah dilakukan oleh UMNO-Barisan Nasional (BN).
Pada masa sama, Aminuddin turut menyifatkan tindakan parti gabungan Kerajaan MADANI itu sebagai satu bentuk pengkhianatan yang sangat besar kepada PH di Negeri Sembilan.
“Sebagai ahli parti, ahli jentera kita, saya mohon sungguh-sungguh, apa juga nama yang dipilih oleh pimpinan harus kita sokong dan tidak boleh khianat seperti yang dilakukan oleh sahabat kita (UMNO-BN).
“Ketika kita (Negeri Sembilan) dalam keadaan baik, memacu ekonomi, pembangunan dan kebaikan sosial semua, kita dikhianati,” katanya.
Namun beliau menganggap krisis politik yang sedang berlaku di negeri itu sebagai satu bentuk ujian yang dapat menguatkan lagi gabungan tersebut.
“Hari ini juga kita tahu tarikh pilihan raya kita yang mana kita akan menghadapi pilihan raya pada 1 Ogos dan ketika itulah saya minta sungguh-sungguh kepada seluruh rakyat untuk memikirkan siapakah yang patut mereka pilih.
“Saya yakin bahawa inilah masanya untuk mereka memberikan sokongan semula kepada PH untuk kita memerintah Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau secara peribadi mengakui agak terkejut dengan tarikh PRN Negeri Sembilan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak diadakan serentak dengan Johor.
Bagaimanapun, katanya, situasi itu memberi ruang yang lebih panjang kepada PH untuk berkempen serta meneruskan usaha mendekati rakyat.
“Kepada pengundi, jika sayangkan negeri ini, melihat pembangunan terus berjalan, masyarakat terus mempunyai peluang pekerjaan, pembangunan dan pelaburan meningkat… tolong pulang mengundi. Tunjukkan rasa tidak puas hati kepada mereka yang khianat kita,” katanya.
Aminuddin turut menyatakan harapan supaya peratusan keluar mengundi pada PRN negeri berkenaan kali ini dapat meningkat sehingga 80 peratus.





