SEORANG lagi lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan membabitkan 13 palet acuan aluminium bernilai kira-kira RM200,000 di sebuah premis di Sungai Udang, Melaka, dua bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Akter Faruk Hafez Ahmad, 18, selepas memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu dan memerlukan khidmat jurubahasa Rohingya.
Perkara itu dimaklumkan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama enam individu lain yang telah didakwa sebelum ini didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki serta melarikan 13 palet acuan aluminium di TYT Stor, Lot 4055, Sungai Udang di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 2.20 pagi, 15 Jun lalu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan yang tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Menurut beliau, tertuduh hanya memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, pihak pendakwaan turut bimbang tertuduh berisiko melarikan diri sekiranya dibenarkan diikat jamin, selain tiada pengakuan dapat direkodkan pada prosiding berkenaan.
Tertuduh diwakili peguam Nigel Tai.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Rohingya dan memutuskan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.
Sebelum ini, media melaporkan enam lelaki etnik Rohingya telah didakwa atas pertuduhan sama, menjadikan Akter Faruk sebagai individu ketujuh daripada kumpulan samun yang dipercayai ditumpaskan polis menerusi Ops Kargo dihadapkan ke mahkamah setakat ini.






