ENAM lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan di sebuah gudang penyimpanan barangan binaan di Sungai Udang sehingga mengakibatkan kerugian dianggarkan RM200,000, bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 38 tahun selepas mereka didapati tidak memahami bahasa Melayu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek diberkas menerusi Ops Kargo yang dijalankan di sekitar Kajang selepas polis mengenal pasti penglibatan mereka dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, dalam kejadian pada 15 Jun lalu, kumpulan terbabit didakwa menyamun sebuah gudang penyimpanan barangan binaan sebelum melarikan aluminium formwork (palet acuan aluminium) bernilai kira-kira RM200,000.
“Modus operandi kumpulan tersebut adalah dengan mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan sebelum melarikan barangan tersebut.
“Kesemua suspek berjaya ditahan di sekitar Kajang dan polis turut merampas beberapa barang kes termasuk dua buah lori, tiga guni bongkah aluminium serta dua resit jualan masing-masing bernilai RM27,440 dan RM101,816,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Prosiding di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin itu.
Sebutan semula ditetapkan 10 Ogos depan bagi membolehkan jurubahasa bahasa Rohingya dilantik.






