`Bedah siasat’ prestasi PRN Johor, Negeri Sembilan dibincang dalam Kongres PKR

KONGRES Tahunan PKR bulan ini dijangka menjadi medan muhasabah dan proses bedah siasat atau `post-mortem’ parti susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perwakilan daripada kedua-dua negeri berkenaan dijangka membangkitkan perkara yang disaksikan sepanjang PRN berkenaan, selain mengemukakan pengajaran dan tindakan yang perlu diambil parti.

Menurut beliau, selain memenuhi keperluan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selaras perlembagaan parti, kongres berkenaan akan membincangkan langkah penambahbaikan dalaman berdasarkan dapatan daripada PRN terbabit.

“Sudah pasti isu-isu yang akan dibangkitkan saya kira oleh perwakilan dari Johor dan juga Negeri Sembilan, apa yang mungkin disaksikan untuk bukan hanya bermuhasabah, mengambil ibrah, mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Dan apa tindakan yang perlu diambil dalaman parti, itu yang pertama, sama ada dari segi jentera, dari segi tugasan, dari segi mungkin persiapan calon dan sebagainya,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kongres itu juga berkemungkinan membincangkan keperluan mengambil tindakan berkaitan dasar kerajaan berdasarkan dapatan yang dikemukakan perwakilan.

“Selain daripada mungkin apakah perlu diambil apa-apa tindakan mengenai dasar kerajaan. Sebagai contoh, mungkin ada dapatan yang akan dilonjakkan oleh perwakilan dalam kongres itu nanti,” katanya.

Pada PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan teruk dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan.

Di Johor, PH memenangi lapan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di Negeri Sembilan, gabungan membabitkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu hanya memperoleh 11 daripada 36 kerusi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img