PKD dan NADI diperkasa, perkukuh usahawan luar bandar – Fahmi

PUSAT Komuniti Desa (PKD) akan diaktifkan bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memperkasakan program keusahawanan khususnya di luar bandar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan melakukan penyelarasan dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi merealisasikan hasrat itu menerusi 190 PKD di seluruh negara.

Menurut beliau, program keusahawanan yang dilaksanakan menerusi NADI dilihat banyak membantu usahawan tempatan meningkatkan pendapatan, termasuk melalui kerjasama bersama platform e-dagang.

“Program keusahawanan NADI bersama TikTok Shop dan Shopee memberi pendidikan kepada usahawan untuk meningkatkan jualan. Ada antara usahawan yang mengikuti program ini berjaya meningkatkan pendapatan mereka dengan ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian NADI Telok Mas dan Penyerahan Watikah Pelantikan Panel Penasihat NADI Melaka di NADI Taman Seri Telok Mas di Melaka, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali.

Pada majlis itu, Fahmi menyampaikan watikah pelantikan kepada enam Pengerusi Panel Penasihat NADI Melaka.

Menurut Fahmi, Panel Penasihat NADI berperanan memperkukuh penyertaan masyarakat, menjadi penghubung antara komuniti, pemimpin tempatan dan agensi berkaitan, serta memastikan program dilaksanakan mengikut keperluan setempat.

“Ketika ini, sebanyak 39 NADI beroperasi di Melaka dengan fokus kepada akses Internet, Program Perkhidmatan Pintar NADI dan penyampaian maklumat kerajaan.

“Sebelum ini, pelaksanaan Panel Penasihat NADI turut melibatkan beberapa negeri lain iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah, dengan 114 pengerusi panel telah dilantik,” katanya.

Menurut beliau, peranan NADI diperkukuh apabila diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital (DTC) oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada 25 April lalu, sekali gus membuktikan usaha yang dilaksanakan dalam komuniti memberi impak besar hingga mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Pada majlis sama, Fahmi turut menyerahkan 25 peranti elektronik kepada pemandu p-hailing bagi menyokong penggunaan teknologi digital untuk pekerjaan dan penjanaan pendapatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, NADI kini melangkah lebih jauh menerusi Program NADI On Wheels yang menjelajah ke kawasan luar pusat berkenaan bagi menjalankan aktiviti bersama komuniti setempat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img