DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air di Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini bakal membawa limpahan ekonomi besar menerusi peningkatan sektor pelancongan, peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan.
Menurut Perdana Menteri, penganjuran bertaraf dunia itu turut diyakini mampu mengukuhkan keyakinan pelabur, sekali gus menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Beliau berkata, perkara itu antara yang diteliti menerusi pertemuan bersama Pengarah Eksekutif GP Singapura, Michael Roche bagi mendapatkan pengalaman dan amalan terbaik Singapura dalam memastikan penganjuran perlumbaan berkenaan berlangsung dengan cemerlang.
“Insya-Allah, kita komited memastikan penganjuran ini bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau serta membawa manfaat yang meluas kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Perdana Menteri berkata, pengalaman dan amalan terbaik daripada negara yang berjaya menganjurkan acara F1 akan menjadi rujukan bagi memastikan penganjuran di SIC mencapai standard yang ditetapkan.






