KERAJAAN negeri Pahang meluluskan peruntukan RM30,000 bagi membaiki pulih jeti nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar di Kuantan selepas menerima permohonan penduduk setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan itu dibuat serta-merta selepas melihat keadaan jeti berkenaan yang memerlukan kerja pembaikan.
“Kita tengok keadaannya tidaklah begitu baik, tidak begitu selamat dan perlu dibaiki.
“Tadi Tok Empat (ketua kampung) minta RM RM30,000, jadi saya meluluskan permohonan itu bagi baik pulih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar petang semalam, lapor Sinar Harian.
Dalam program itu Wan Rosdy turut beramah mesra dengan masyarakat sekitar selain meninjau kawasan berkenaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif dengan menaiki bot, selain bermain dam bersama penduduk.
Menyentuh mengenai Jelajah Aspirasi Pahang, Wan Rosdy berkata, program berkenaan memberi peluang kepada beliau mendengar sendiri pemasalahan dan keperluan yang dihadapi masyarakat setempat.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan kerajaan negeri memahami situasi sebenar rakyat sekali gus membantu mempercepatkan tindakan susulan terhadap perkara yang dibangkitkan.
“Ada yang boleh diluluskan serta-merta, ada yang perlu dikaji dan meminta jabatan-jabatan ataupun agensi yang berkaitan untuk meneliti.
“Sekiranya wajar dipertimbangkan untuk diluluskan dan insya-Allah mereka akan luluskan,” jelasnya.






