Tiga anggota polis maut akibat terkena renjatan ketika kait buah kelapa guna galah besi

TIGA anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston di Beaufort petang ini dipercayai sedang mengait buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat itu terkena kabel elektrik.

Kejadian jam 5.50 petang itu berlaku apabila galah besi yang digunakan salah seorang anggota tiba-tiba hilang keseimbangan lalu tersangkut pada kabel elektrik.

Difahamkan, dua lagi anggota yang berada berhampiran kemudian cuba membantu mangsa namun turut terkena renjatan sebelum ketiga-tiganya rebah.

Ketiga-tiga mangsa ialah anggota Balai Polis Weston iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40; Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga anggota terbabit pergi mengait buah kelapa sebelum kejadian berlaku.

“Ketika menggunakan galah besi yang panjang, alat itu dipercayai hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik.

“Dua lagi anggota cuba membantu rakannya, namun turut terkena renjatan elektrik,” katanya ketika dihubungi malam ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala bedah siasat akan dijalankan sebelum mayat diserahkan kepada waris.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bergegas ke lokasi yang terletak 28 kilometer dari BBP.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img