DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera susulan tragedi yang mengorbankan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau dukacita menerima berita pemergian ketiga-tiga anggota terbabit dan menegaskan langkah penambahbaikan perlu diambil bagi memastikan tragedi seumpama itu tidak berulang.
“Langkah penambahbaikan perlu diambil supaya tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta warga PDRM.
“Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara keamanan serta keselamatan negara akan sentiasa dikenang,” katanya.
Tiga anggota polis lelaki itu maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston di Beaufort petang ini.
Mangsa ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40; Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilaporkan berkata, ketiga-tiga anggota polis maut itu dipercayai sedang mengait buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat itu terkena kabel elektrik.
Katanya, kejadian jam 5.50 petang itu berlaku apabila galah besi digunakan secara tiba-tiba hilang keseimbangan lalu tersangkut pada kabel elektrik.
Dua lagi anggota yang berada berhampiran kemudian cuba membantu mangsa, namun turut terkena renjatan sebelum ketiga-tiganya rebah.






