POLIS sedang mengesan empat lelaki disyaki memecah masuk sebuah rumah seorang wanita di Sungai Buloh, Selangor yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM35,000.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu hari ini dan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan empat lelaki bertopeng yang mengakibatkan kerugian barangan kemas dan kehilangan beberapa dokumen penting,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Shamie Yusop di talian 013-646 3069 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di nombor 03-6156 1222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular video dalam media sosial memaparkan keadaan rumah seorang wanita berselerak selepas dipercayai dipecah masuk, dengan wang tunai, telefon bimbit, barang kemas serta pasport didakwa hilang.






