Syarat kemasukan lepasan UEC ke program perubatan IPTS kekal – Fahmi

KERAJAAN hari ini memutuskan untuk mengekalkan kelayakan minimum lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kemasukan ke program pengajian perubatan di institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) seperti ketetapan sebelum ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

DATUK Seri Fahmi Fadzil

Beliau berkata, lepasan UEC yang memperoleh sekurang-kurangnya gred B4 dalam lima mata pelajaran ditetapkan kekal layak memohon kemasukan terus ke program ijazah perubatan di IPTS.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mencapai satu ketetapan iaitu mengekalkan syarat minimum kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu atau pun UEC ke program pengajian perubatan sepertimana syarat sebelum pindaan.

“Oleh itu, lepasan UEC yang memenuhi syarat minimum B4 dalam lima mata pelajaran yang ditetapkan kekal layak untuk memohon kemasukan terus ke program ijazah perubatan di IPTS,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan menyelaraskan tindakan susulan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan keputusan berkenaan dilaksanakan dengan lancar.

Penyelarasan itu menurunya, bertujuan menangani sebarang isu berbangkit berkaitan pelaksanaan ketetapan berkenaan.

Fahmi pada masa yang sama menegaskan, kerajaan akan terus memastikan standard dan kualiti pendidikan perubatan negara, termasuk di IPTS, sentiasa terpelihara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here