Taklimat Khas Ahli Parlimen BN berhubung RCI Tabung Haji selesai dalam dua jam

TAKLIMAT Khas Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) berlangsung selama dua jam di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur petang ini.

Mesyuarat dan taklimat itu yang dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu bermula kira-kira jam 5 petang sebelum berakhir jam 7 malam.

Antara yang dilihat hadir ialah Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa serta kepimpinan tertinggi BN.

Turut hadir, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Abd Ghani Ahmad dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dari Pas.

Difahamkan, taklimat itu antara lain untuk membincangkan isu laporan RCI berkaitan TH yang akan dibentangkan dalam Sidang Khas Parlimen esok.

Beberapa Ahli Parlimen memberi respons ringkas ketika ditemui selepas taklimat itu. Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hanya menjawab ‘bagus’ kepada petugas media.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin pula meminta wartawan ‘tunggu esok’ ketika ditanya mengenai taklimat berkenaan.

Petang tadi, PN mencadangkan Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan esok bagi membentangkan laporan RCI berkaitan TH itu ditangguhkan ke tarikh yang lebih sesuai.

Menurut Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN, cadangan penangguhan itu susulan perkembangan terkini membabitkan keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here