DEWAN Pemuda Pas Malaysia (DPPM) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberikan penjelasan serius berhubung keberkesanan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat di seluruh negara.
Gesaan tersebut dibuat oleh Ketua DPPM merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, susulan tragedi menyayat hati melibatkan seorang pelajar sekolah menengah di Kuala Pilah yang ditemukan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.
Afnan Hamimi dalam satu kenyataan media hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyeru semua pihak agar memberikan ruang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan insiden itu menuntut akauntabiliti yang tinggi daripada pihak kementerian mengenai status sebenar sistem keselamatan dan antibuli yang sering diuar-uarkan sebelum ini.
“Persoalannya, adakah semua ini benar-benar dilaksanakan di sekolah dan asrama, atau sekadar baik di atas kertas? Jika sistem pemantauan benar-benar berfungsi, sejauh mana warden dan pihak sekolah mampu mengesan risiko lebih awal?” katanya.
Afnan Hamimi turut mempersoalkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan saluran aduan sedia ada serta entiti yang bertanggungjawab memantau kepatuhan setiap sekolah terhadap garis panduan yang telah ditetapkan.
‘’Sehubungan itu, DPPM menggesa Menteri Pendidikan untuk tampil menjelaskan secara telus tahap pelaksanaan serta pemantauan dasar keselamatan di sekolah berasrama di seluruh negara bagi mengelakkan pendekatan yang hanya bersifat reaktif selepas berlakunya sesuatu tragedy,’’ katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan kes ini mesti dijalankan secara telus. Sekiranya terdapat unsur jenayah, kecuaian, atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan sedia ada, tindakan undang-undang dan tatatertib yang tegas tanpa kompromi wajib diambil ke atas pihak terlibat.
“Sekolah dan asrama mesti menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Dasar antibuli tidak boleh sekadar menjadi slogan. Jangan tunggu satu lagi nyawa terkorban sebelum kelemahan sistem diperbetulkan,” tegasnya lagi.





