Kenyataan berbaur fitnah dalam ceramah: Perdana Menteri saman Tuan Ibrahim

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan yang dibuat semasa satu ceramah politik di Pahang pada Jun lalu.

Perdana Menteri selaku plaintif memfailkan tuntutan itu menerusi firma guaman Tetuan SN  Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menamakan Tuan Ibrahim sebagai defendan.

Pernyataan tuntutan Anwar mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang merujuk kepadanya ketika berucap dalam satu ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau pada 14 Jun lalu di hadapan orang awam dan wakil media yang hadir.

Beliau berkata, klip video ucapan itu kemudian dimuat naik, diterbitkan atau diterbitkan semula pada keesokannya.

Menurut plaintif, setakat tarikh pemfailan tindakan saman itu, klip video berdurasi 11 minit tersebut telah menerima lebih 20,000 tontonan, 482 tanda suka dan 65 komen selain terus boleh diakses, ditonton serta dikongsi oleh orang awam.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, selain injunksi bagi menghalang penerbitan, penerbitan semula atau penyebaran lanjut kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Beliau turut memohon perintah supaya kenyataan berkenaan dipadam daripada akaun media sosial Tuan Ibrahim serta penerbitan lain di bawah kawalannya, selain faedah, kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here