TIGA lelaki rakyat Malaysia ditahan di Kaohsiung, Taiwan kerana disyaki menjadi keldai wang sindiket penipuan, bulan lalu.
Central News Agency (CNA) semalam melaporkan, ketiga-tiga suspek berusia 18, 26 dan 39 tahun itu memasuki Taiwan sebagai pelancong sebelum ditahan secara berasingan.
Menurut laporan itu, Polis Zuoying menahan suspek berusia 18 dan 39 tahun di beberapa lokasi, termasuk ketika membuat pengeluaran wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pejabat pos.
Difahamkan, suspek berusia 39 tahun ditahan di hadapan mesin ATM sebuah pejabat pos dan polis merampas wang tunai NT$155,000 (RM19,660), dua kad bank serta sebuah telefon bimbit.
Suspek berusia 18 tahun pula ditahan di hadapan mesin ATM sebuah pejabat pos bersama wang tunai NT$60,000 (RM7,610), sekeping kad bank serta sebuah telefon bimbit.
Suspek berusia 26 tahun pula ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaohsiung pada pertengahan Julai lalu menerusi kerjasama Agensi Imigresen Nasional dan Biro Polis Penerbangan Taiwan.
Polis merampas wang tunai NT$2,800 (RM355) serta dua telefon bimbit daripada suspek berkenaan.
Ketiga-tiga rakyat Malaysia itu adalah antara empat warga asing yang ditahan Polis Zuoying dalam operasi antara penghujung Jun hingga Julai lalu.
Mahkamah Daerah Ciaotou kemudian memerintahkan semua suspek ditahan bagi siasatan lanjut.
CNA memetik polis sebagai berkata, sindiket penipuan semakin kerap merekrut warga asing untuk memasuki Taiwan sebagai pelancong dan bertindak sebagai keldai wang.
Kebanyakan mereka dilaporkan tinggal kira-kira seminggu sebelum meninggalkan Taiwan sebaik selesai membuat pengeluaran wang bagi pihak sindiket.
Taktik itu dipercayai digunakan untuk memutuskan jejak dan menyukarkan pihak berkuasa mengesan suspek.





