DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, kerajaan terbuka untuk mengkaji penambahbaikan sistem percukaian, termasuk kemungkinan menggabungkan ciri tertentu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menurut Perdana Menteri, kerajaan bagaimanapun tidak akan berkompromi terhadap prinsip untuk tidak mengenakan cukai secara menyeluruh ke atas rakyat.
“Untuk GST, SST, seperti mana yang saya sebut tadi, kita terbuka untuk kaji, untuk perbaiki sistem percukaian. Tapi kalau nak bercakap pasal GST sahaja, saya punya kebimbangan, seperti yang saya lahirkan berulang kali, ini nak cukai rakyat.
“Maknanya orang yang tak pernah bayar cukai, mesti bayar. Mana kita nak jawab dalam keadaan sekarang?. Dengan kos sara hidup, beban rakyat. Sebab itu kita guna pangkal SST, tetapi kalau ada beberapa penyesuaian, boleh kita lakukan,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan hari ini, lapor Buletin TV3.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Anwar dalam pada itu memberitahu, kerajaan bersedia menerima beberapa ciri GST sekiranya ia sesuai untuk dilaksanakan dalam sistem sedia ada.
“Saya dah sebut tadi, pangkalnya masih SST. Tapi kalau ada beberapa ciri yang boleh kita terima, kita terima.
“Saya tidak mahu cukai ke atas rakyat secara menyeluruh, seperti mana pangkal pandangan dalam GST. GST itu ‘broad-based tax’, kita cukai semua rakyat. Saya tak setuju,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan akan turut mengambil kira inisiatif bagi kumpulan masyarakat berpendapatan sederhana (M40) dalam Belanjawan 2027, Anwar berkata, perkara itu antara keutamaan pihaknya.
“Kita ada senarai hal-hal yang telah kita beri keutamaan untuk meringankan beban M40,” katanya.
Terdahulu, pada pembukaan majlis, Amir Hamzah memaklumkan, kerajaan kekal memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan memperluas peluang pekerjaan berkualiti.
Katanya, cabaran kos sara hidup akan ditangani menerusi pendekatan yang bersasar dan mampan.
Pembentangan Belanjawan 2027 dijadualkan diadakan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober depan.





