ATLET angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin terpaksa menjalani amputasi tangan kanan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), malam tadi.
Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat yang berkata, tindakan memotong tangan atlet berusia 22 tahun itu dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.
Menurutnya, Hafizuddin atau lebih mesra disapa Udin selesai menjalani pembedahan selama lebih tujuh jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.
“Udin selesai menjalani pembedahan lebih tujuh jam tadi di HKL. Doktor cuba menyelamatkan tangannya. Tetapi tangan kanannya terpaksa dipotong paras atas siku yang mungkin mengancam nyawanya,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Hafizuddin sebelum ini dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal di SUKE ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira jam 11 malam, semalam.
Atlet kelahiran Perlis itu meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.
Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain rekod baharu Sukan Komanwel dalam kategori berkenaan.
Sementara itu, keluarga Hafizuddin yang turut berada di HKL meminta diberikan ruang dan menyerahkan kepada pihak sewajarnya untuk membuat kenyataan.





