SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan lima individu yang terdiri daripada seorang Pengerusi, dua pengarah syarikat, pengurus teknikal dan seorang kerani wanita kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di Pulau Pinang.
Suspek pertama seorang Pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 50-an ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Prai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.
Suspek terbabit juga dipercayai menggunakan kedudukannya dengan terlibat dalam meluluskan penjualan tanah tersebut pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 40an hingga 50an telah ditahan secara berperingkat kira-kira jam 11 pagi hingga 12 tengahari, di pejabat SPRM Pulau Pinang, semalam dan akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Georgetown, pagi ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.





