MALAYSIA dan Brunei memperkukuh kerjasama dalam pengurusan bencana menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU), termasuk meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas menghadapi sebarang kemungkinan.
Pembaharuan MoU itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27) di Istana Nurul Iman hari ini.

“Ikhtiar ini bukan sahaja penting dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah melengkapi inisiatif di peringkat ASEAN dalam mendepani cabaran bencana yang semakin kompleks,” kata Anwar menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.
Terdahulu Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan pertemuan empat mata bagi bertukar pandangan secara terbuka dan penuh mesra, terkait pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama.

Ia berteraskan hubungan akrab, kepercayaan dan persahabatan istimewa yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Lawatan kerja dua hari itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Pada 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Brunei dicatatkan sebanyak RM5.86 bilion (AS$1.37 bilion).
Jumlah eksport ke Brunei pada 2025 bernilai RM4.20 bilion (AS$0.98 bilion), manakala jumlah import dari Brunei bernilai RM1.66 bilion (AS$0.39 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara telah mencecah RM2.38 bilion (AS$0.6 bilion).





