PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Bandar Seri Begawan bagi menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia–Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27).
Beliau ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
“Mohon doa teman-teman agar segala urusan dipermudah, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Mohd Aini Atan sebelum ini dilaporkan berkata, Perdana Menteri dijadual mengadakan perbincangan empat mata bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Antara perkara yang dijangka akan dibincangkan termasuk isu jerebu di beberapa kawasan di rantau ini termasuk Kalimantan selain isu-isu semasa yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara.
Dalam lawatan itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pengurusan bencana akan ditandatangani menteri berkaitan kedua-dua negara dengan disaksikan Anwar dan Sultan Brunei.
ALC adalah mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei bagi menilai kemajuan hubungan serta kerjasama dua hala, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.





