Aksi NSFC-KL City ditangguh akibat influenza, NSFC tuntut kemenangan percuma

AKSI pembukaan Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada jam 5 petang ini tidak dapat dilangsungkan selepas hampir separuh pemain skuad warga kota disahkan dijangkiti influenza.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan rasmi daripada KL City berhubung keadaan kesihatan pemain-pemain mereka.

Menurut MFL, KL City dalam permohonan rasmi menyatakan 15 pemain dan dua pegawai pasukan mengalami simptom demam, batuk, selesema dan cirit-birit menerusi surat laporan perubatan kepada MFL.

“Menurut kelab itu, kesemua pemain dan pegawai terbabit akan dirujuk ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling untuk rawatan lanjut memandangkan penyakit itu mudah merebak dan memerlukan masa bagi tujuan pemulihan,” kata MFL dalam kenyataan hari ini.

“Setelah menilai permohonan serta keadaan dihadapi Kuala Lumpur City FC, MFL memutuskan bahawa perlawanan itu tidak dapat dilangsungkan bagi memastikan aspek kebajikan dan kesihatan pemain serta pegawai pasukan diberikan keutamaan.

MFL bagaimanapun memaklumkan akan membawa perkara berkenaan ke peringkat ahli Lembaga Pengarah badan itu untuk membuat keputusan mengenai status perlawanan tersebut dalam masa terdekat.

Sementara itu, pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) menuntut kemenangan percuma secara ‘walkover’ diberikan kepada skuad itu susulan aksi Liga Super menentang KL City petang ini tidak dapat dilangsungkan pada saat akhir.

NSFC dalam kenyataan memaklumkan mereka kesal dengan keputusan saat akhir yang dibuat MFL itu kerana persiapan bagi aksi sulung musim ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman sudah dibuat.

“Sebagai pasukan tuan rumah, segala persiapan penganjuran perlawanan dari segi logistik, fasiliti, pasukan perubatan dan keselamatan sudah disiapkan sepenuhnya. Hal ini memberi Impak yang besar memandangkan segala persiapan rapi menelan kos pengurusan yang tinggi di pihak kelab.

“Tambahan pula, insiden ini amat mengecewakan ribuan peminat setia skuad Jang. Berdasarkan rekod dan unjuran kelab, hal ini menjejaskan kira-kira 5,000 penyokong yang sudah membeli tiket lebih awal dan juga mereka yang merancang untuk membeli tiket terus di pekarangan stadium, hari ini.

“Memandangkan perkara ini di luar kawalan dan sama sekali bukan berpunca daripada pihak kami, NSFC dengan tegas menuntut agar kemenangan percuma secara ‘walkover’ diberikan kepada pihak NSFC,” menurut kenyataan NSFC.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here