PERSIAPAN menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kota Kinabalu beberapa minggu lagi antara perkara dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Brunei hari ini.
Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, perbincangan itu berlangsung ketika beliau bersarapan bersama kedua-dua pemimpin negeri berkenaan yang turut menyertai Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) di Bandar Seri Begawan.

Katanya, pertemuan itu turut memberi ruang kepada mereka bertukar pandangan mengenai beberapa perkembangan mutakhir, selain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.
“Pagi tadi saya sempat bersarapan dan berbincang bersama Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah yang turut ikut serta dalam ALC-27.
“Antara yang disentuh termasuk persediaan menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu dalam beberapa minggu lagi.
“Kami turut bertukar pandangan terkait beberapa perkembangan mutakhir, selain memberi tumpuan kepada ikhtiar memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang,” katanya dalam hantaran itu.
Anwar berkata, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak dan Sabah akan terus diperkukuh berasaskan prinsip saling menghormati dan kepercayaan.





