1,500 komuniti Papar sertai Karnival Internet Selamat

LEBIH 1,500 penduduk setempat menyertai Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Papar hari ini dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian sempena Bulan Kebangsaan.

Program yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali itu turut menjadi platform untuk memperkukuh pengetahuan masyarakat mengenai risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan maklumat peribadi serta ancaman siber.

DATUK Armizan Mohd Ali ketika menghadiri Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Papar hari ini. GAMBAR: Facebook Armizan Mohd Ali

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, keselamatan dalam talian memerlukan penglibatan seluruh komuniti termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan golongan muda bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih positif dan selamat.

Menurut MCMC, sehingga Julai 2026, Kempen Internet Selamat di Sabah telah diperluas ke lebih 1,300 institusi pendidikan dan menjangkau lebih 148,300 individu.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan mesej keselamatan dalam talian sampai kepada masyarakat merentasi bandar, luar bandar dan komuniti akar umbi melalui pendekatan ‘Masuk Kampung’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, sempena Bulan Kebangsaan, semangat patriotisme juga boleh diterjemahkan melalui penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

Masyarakat, katanya, digalakkan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi, mengamalkan etika komunikasi yang baik serta bersama-sama membendung penyebaran kandungan palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Jalur Gemilang bagi menyemarakkan inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’, selain sesi perkongsian keselamatan Internet, pameran agensi kerajaan, aktiviti komuniti dan Jualan Rahmah MADANI.

MCMC berkata, pihaknya akan terus memperluas usaha pendidikan dan kesedaran keselamatan dalam talian bagi memastikan lebih ramai rakyat mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk melindungi diri dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.

“Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat yang celik digital, berdaya tahan dan mampu memanfaatkan teknologi secara selamat serta bertanggungjawab,” kata suruhanjaya itu.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim; ADUN Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here