Suspek kes bakar al-Quran di Senawang ditahan di ibu negara

POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes membakar al-Quran di tepi padang bola di Taman Bandar Senawang, di Seremban pada 22 Ogos lalu.

Suspek yang berusia 25 tahun ditahan di sebuah hotel di Chow Kit, Kuala Lumpur kira-kira  jam 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terlihat kebakaran kecil di tepi padang bola di Taman Bandar Senawang pada jam 10.22 pagi, 22 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran itu membabitkan beberapa naskhah al-Quran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, satu laporan polis dibuat anggota bertugas di Bilik Gerakan sebagai maklumat pertama berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pada jam 5.45 petang hari sama, pihak polis turut menerima satu laporan berkaitan kejadian kecurian al-Quran di sebuah masjid di kawasan Forest Height di Seremban.

“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, pada jam 9.30 malam tadi, polis menjalankan serbuan di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun.

“Pemeriksaan di dalam bilik yang didiami suspek menjumpai dua bagasi dan sebuah beg galas yang mengandungi keseluruhan 16 naskhah al-Quran.

“Polis turut merampas tiga telefon bimbit serta beberapa barangan peribadi milik suspek termasuk pakaian bagi membantu siasatan. Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan baru dua bulan tamat menjalani perintah pengawasan polis,” katanya.

Alzafny berkata, hasil siasatan awal mendapati semua naskhah al-Quran yang ditemukan di dalam beg milik suspek dipercayai dibawa keluar tanpa izin daripada masjid dan surau di sekitar kawasan Chow Kit.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa naskhah itu diambil daripada salah sebuah universiti di utara tanah air berdasarkan penemuan cop hak milik universiti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pada hari sama, polis turut menjalankan pemeriksaan di rumah milik keluarga suspek di Senawang dan menemukan sebanyak 36 kulit al-Quran di dalam bilik tempat tinggal suspek.

“Semua kulit al-Quran berkenaan dirampas dan pihak polis percaya penemuan mempunyai kaitan dengan kes pembakaran al-Quran di tepi padang bola, Taman Bandar Senawang pada 22 Ogos lalu,” katanya.

Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 380/295 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban bagi permohonan tahanan reman untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi IPD Seremban di talian 06-603 3222,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here