Muktamar Pas ke-72 bincang `usul wajib’ kerjasama dengan UMNO – Takiyuddin

MUKTAMAR Pas ke-72 yang akan berlangsung pada 4 September depan dijangka akan membincangkan kerjasama politik antara parti itu dengan UMNO sebagai salah satu `usul wajib’.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu penyatuan ummah turut dijangka mendapat perhatian perwakilan pada muktamar tersebut.

“Pastinya (akan dibahaskan) adalah penyatuan ummah dan juga gabungan atau kerjasama politik antara Pas dan UMNO. Itu salah satu usul yang wajib,” katanya kepada media selepas menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 bertajuk ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’ di ibu negara, hari ini.

Muktamar Pas ke-72 dijadual berlangsung di Kelantan pada 4 September depan dan akan dirasmikan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad lalu mengesahkan parti itu akan menghantar wakil ke muktamar itu selepas menerima jemputan Pas.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, rundingan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi PRN Melaka setakat ini berjalan positif.

Katanya, rundingan masih berlangsung bagi menentukan kaedah dan bentuk kerjasama akan dilaksanakan.

“Kita sudah memulakan rundingan tetapi belum mencapai keputusan muktamad. Masih di peringkat rundingan untuk menetapkan kaedah dan bentuk kerjasama yang akan kita laksanakan.

“Bagaimanapun, perkembangan rundingan setakat ini sangat positif. Saya boleh katakan ia sangat positif,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here