BN-PN akan runding PRN Melaka tanpa Bersatu – Takiyuddin

PERIKATAN Nasional (PN) akan berunding dengan Barisan Nasional (BN) berhubung persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa membabitkan parti Bersatu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan setakat ini belum bermula, namun secara asasnya PN dan BN bersetuju melakukan rundingan dan akan diadakan dalam waktu terdekat.

“Rundingan mungkin tidak sama dengan Negeri Sembilan kerana setiap negeri adalah berbeza dan kedudukan kerusi juga berbeza. Sebagai contoh, kita tiada kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), namun kita ada kerusi Parlimen di Melaka.

“Semua itu kita akan jadikan asas dalam perbincangan kita. Apakah mereka mahu mengekalkan 20 atau 21 kerusi, termasuk kerusi di DUN Rembia yang mana ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kerusi berkenaan sudah menyertai Pas juga akan dibincang,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Kota Bharu, malam tadi, lapor BH.

Pada Jumaat lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mendakwa Bersatu secara automatik terkeluar daripada PN selepas mengumumkan pembentukan gabungan baharu.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam dilaporkan berkata, parti itu masih komponen gabungan berkenaan.

Ditanya mengenai Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan sudah berunding secara tidak rasmi dengan BN Melaka, Takiyuddin berkata, beliau tiada maklumat berhubung perkara itu setakat ini.

“Saya tiada maklumat dan isu ini belum lagi timbul. Kita tidak tahu ia betul atau tidak, itu kena tanya UMNO. Jika UMNO kata betul, barulah kita akan fikirkan kemudian. Mungkin juga itu hanya gimik politik,” jelas beliau.

Semalam, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, gabungan itu sudah mengadakan beberapa rundingan dengan BN berhubung kemungkinan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.

Menurut Fahmi, Ketua PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim telah berhubung secara langsung dengan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membincangkan rundingan kerusi bagi PRN.

Takiyuddin dalam pada itu berkata, Bersatu berhak membuat sebarang aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) dan PN sedia memberi penjelasan jika dipanggil.

“Pas adalah ahli PN dan sudah tentu akan mempergunakan PN untuk parti-parti dalam gabungan itu,” katanya susulan dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bahawa Pas mempergunakan PN sesuka hati demi kepentingan politiknya, termasuk tindakan unilateral menafikan hak parti anggota serta didakwa melanggar Perlembagaan PN.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here