LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) akan ditutup sepenuhnya mulai 7 September ini bagi membolehkan kerja baik pulih dan penambahbaikan dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kerja-kerja berkenaan bukan hanya membabitkan trek perlumbaan, malah turut meliputi kemudahan lain.
Beliau berkata, kemudahan itu termasuk tempat duduk penonton, tandas dan semua elemen berkaitan bagi memastikan imej Malaysia berada pada tahap terbaik di pentas dunia.
“Kerja baik pulih bukan sahaja trek, tetapi kerusi, tandas dan semua elemen supaya imej negara kita ini dapat diangkat di peringkat dunia.
“Sekarang ini gerak kerja sedang berlangsung dan pada 7 September 2026, SIC akan ditutup sepenuhnya. Orang luar tidak boleh menyewa kerana akan ada kerja-kerja baik pulih dalam SIC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Sungai Petani hari ini.
Malaysia dipilih sebagai venue bagi perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober depan, sekali gus menyaksikan Formula 1 kembali ke Malaysia selepas kali terakhir diadakan di litar berkenaan pada 2017.
Keputusan itu dicapai hasil kerjasama antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain bagi memastikan perlumbaan Bahrain kekal dalam kalendar musim 2026.
Mengulas mengenai persiapan F1, beliau berkata tiga jawatankuasa sudah diwujudkan, iaitu jawatankuasa induk, jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kecil yang merangkumi lapan hingga sembilan cabang bagi memastikan persiapan berlangsung lancar.
Katanya, jawatankuasa teknikal turut mengadakan mesyuarat setiap Selasa sebelum hasil perbincangan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Setakat ini kita sudah memeterai perjanjian antara SIC dan Bahrain International Circuit, termasuk perkara berkaitan penjualan tiket, parkir dan beberapa aspek lain secara menyeluruh.
“Bahagian protokol, antarabangsa, imigresen serta semua agensi berkaitan juga sudah menyelaraskan gerak kerja supaya proses penganjuran lebih lancar,” katanya.
Mohammed Taufiq berkata, pihaknya turut mahu memastikan penganjuran F1 memberi kesan limpahan ekonomi positif kepada rakyat Malaysia sepanjang tiga hari acara berkenaan.
Katanya, orang awam juga dicadang diberi peluang memasuki SIC sehari sebelum perlumbaan bagi merasai sendiri suasana di litar berkenaan, manakala pelancaran sukarelawan F1 dijangka diadakan minggu depan.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan akan meletakkan kesihatan atlet sebagai keutamaan susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk ketika ini.
“Kita sentiasa memastikan kesihatan atlet menjadi keutamaan dan akan mengikut nasihat serta garis panduan berdasarkan kadar jerebu, sama ada membahayakan atau tidak.
“Bagaimanapun, ia tidak menyekat persiapan dan latihan atlet khususnya bagi menghadapi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya dalam masa terdekat,” katanya.





