PADA hujung bulan lalu Pemerintah Thailand membuat keputusan menangguhkan rundingai damai dengan puak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) disebabkan serangan maut mengorbankan lima anggota renjer.
Tindakan itu bukan bermaksud menutup pintu rundingan tetapi mencari jalan terbaik untuk memastikan rundingan tidak sia-sia. Tiada gunanya berunding kalau anggota tentera diserang, apa ertinya berunding jika masih ada nyawa insan tidak berdosa dibunuh, apa maknanya berunding kalau apa sahaja cadangan Pemerintah Thailand ditolak?
Bayangkan terbaru, 22 Ogos lalu sebanyak 51 kejadian keganasan berlaku di Selatan Thailand iaitu Narathiwat (22 kes), Pattani (11 kes) dan Yala (18 kes). Di mana silapnya? Kalau BRN benar-benar berkuasa sudah pasti semua itu tidak berlaku!
BRN satu-satunya puak pemisah yang dibawa ke meja perundingan. Kalau ikut logik, dalam mana-mana juga proses damai atau perundingan untuk sesuatu konflik sudah pastilah kelompok yang ada kuasa terlibat tetapi soalnya adakah BRN benar-benar berada di kedudukan itu?
Kalau BRN begitu berkuasa bagaimana boleh tercetus 51 kejadian tersebut? Keadaan ini membuktikan bahawa alternatif harus dicari untuk memastikan rundingan damai benar-benar hasil.
Sudah sampai masanya, rundingan tidak lagi melibatkan hanya BRN sahaja sebaliknya menjemput kumpulan pemisah lain.
Ia kerana selama ini proses tersebut hanya disertai oleh BRN seolah-olah hanya BRN satu-satu puak pemisah di Selatan Thailand sedangkan di wilayah itu terdapat puak pemisah lain yang mungkin boleh memainkan peranan bagi memastikan proses tersebut berjaya.
Kejadian serangan 22 Ogos itu membuktikan ada sesuatu yang perlu dilakukan dalam kaedah proses rundingan damai yang berlaku sejak 2013.
Tindakan menjemput puak pemisah lain bukanlah bermaksud selama ini Pemerintah Thailand berunding dengan pihak yang salah, sebaliknya hanya memastikan tidak ada mana-mana kelompok tertinggal.
Antara kelompok yang boleh dijemput ialah PULO, Barisan Islam Pembebasan Islam Pattani (BIPP) dan Gerakan Mujahidin Islam Pattani (GMIP).
BRN tidak perlu berasa tergugat dengan kehadiran puak pemisah lain dalam rundingan. Sebaliknya perlu bersyukur kerana sekurang-kurangnya selepas ini kalau berlaku lagi keganasan BRN tidak dipersalahkan.
Siapa tahu melalui tindakan menjemput puak-puak pemisah lain ia akan membuka jalan untuk mencapai kedamaian di wilayah berkenaan. Penulis percaya ramai pihak khususnya penduduk Selatan Thailand sudah bosan dan muak dengan apa yang berlaku.
Penduduk mahu hidup dengan damai, dapat mencari rezeki dengan aman dan beribadah dengan tenang, bukan hidup terus diburu ketakutan, mahu mencari rezeki pun tidak selamat dan ibadah pun terganggu!
Oleh itu langkah menjemput puak-puak pemisah lain adalah wajar. BRN tidak boleh tamak atau merasakan mereka paling layak mewakili masyarakat Islam Thailand ke meja rundingan.
Agak melucukan apabila ada media sosial yang cenderung kepada puak pemisah membuat dakwaan bahawa ketidakstabilan politik di Thailand menjadi faktor utama mengapa konflik di Selatan Thailand sukar diselesaikan.
Malah mereka mendakwa, Kerajaan Thailand sering mengalami perubahan pucuk pimpinan, menyebabkan dasar terhadap wilayah selatan berubah-ubah dan rundingan damai sering terbengkalai apabila berlaku pertukaran kepimpinan
Paling kelakar mereka mencadangkan untuk menamatkan konflik, Pemerintah Thailand diminta memberi lebih banyak kuasa autonomi kepada wilayah selatan bagi membolehkan penduduk tempatan mengurus pentadbiran mereka sendiri.
Kata mereka lagi, selagi tuntutan masyarakat Melayu tidak diambil serius dan dasar kerajaan tidak mengalami perubahan drastik, ketidakstabilan dijangka terus berlarutan.
Hakikatnya, selama ini tidak kira siapapun Perdana Menteri Thailand, tidak kira parti manapun memerintah dan tidak kira siapa yang memegang kuasa, apa yang pasti proses rundingan damai tidak pernah dihentikan.
Perlu diingat proses rundingan damai Selatan Thailand secara rasmi dijalankan sejak 28 Februari 2013 melalui pemeteraian dokumen “Prinsip-Prinsip Am Proses Dialog Damai” di Kuala Lumpur.
Sejak permulaan rundingan tersebut pada 2013 sehingga kini (2026), jawatan Perdana Menteri Thailand telah bertukar tangan sebanyak 5 kali melibatkan lima pemimpin iaitu Yingluck Shinawatra (2011 – 2014) – menandatangani inisiatif awal rundingan damai, Prayut Chan-o-cha (2014 – 2023), Srettha Thavisin (2023 – 2024), Paetongtarn Shinawatra (2024 – 2025) dan Anutin Charnvirakul (2025 – kini).
Walaupun berlaku pergolakan politik yang menyaksikan pertukaran Perdana Menteri, proses rundingan damai tetap diteruskan oleh kerajaan baharu sebagai agenda nasional.
Oleh itu menuduh pertukaran Perdana Menteri menjadi punca rundingan gagal hanyalah alasan. Sepatutnya puak pemisah yang harus disalahkan kerana mereka bukan sahaja tidak bersatu malah membiarkan tindakan ganas berterusan.
Sepatutnya mereka berunding sesama sendiri untuk mencari titik persamaan. Kemudiannya melantik wakil-wakil bagi mewakili puak pemisah secara keseluruhan, barulah rundingan berhasil.
Ini tidak! Satu pihak merasakan mereka paling layak mewakili puak pemisah dan satu pihak merasakan lebih berkuasa. Paling buruk apabila dalam satu organisasi puak pemisah contohnya BRN pun berpecah belah tak sekata antara Cabang Politik dan Cabang Militer.
Justeru penulis berpendapat, adalah wajar apabila proses rundingan damai disambung, semua puak pemisah di Selatan Thailand dijemput untuk menyertainya bukan hanya BRN.
Penulis percaya ia akan mampu menyumbang bagi mencapai kejayaan dalam rundingan. Kalaulah di antara mereka pun tidak mencapai kata sepakat…tiada gunanya proses rundingan damai dijalankan. 51 serangan yang berlaku sudah menjadi bukti.
Puak pemisah harus ingat perjuangan dengan mengangkat senjata di sebuah negara berdaulat seperti Thailand tidak akan membuahkan apa-apa hasil dan ia sudah tidak relevan pada zaman ini.
Ingat Pemerintah Thailand sedih apabila lima renjer dibunuh tetapi mereka boleh bertindak balas dengan menggantikannya dengan satu batalion renjer, tetapi kalau anggota puak pemisah terbunuh..mereka hendak mencari seorang pengganti pun belum tentu…jadi…jangan teruskan perjuangan sia-sia.





