Akhirnya Kerajaan Nepal setuju terima bantuan khusus dari luar negara

KERAJAAN Nepal mengubah pendirian dasarnya dengan bersetuju menerima bantuan khusus dari luar negara selepas sebelum ini memutuskan untuk bergantung sepenuhnya kepada agensi keselamatan tempatan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir besar di sepanjang koridor sungai Bhote Koshi dan Trishuli.

Bencana dahsyat yang berlaku pada 26 Ogos itu dipercayai tercetus akibat keruntuhan glasier besar di kawasan altitud tinggi, disusuli aliran puing yang melanda kawasan berhampiran sempadan Tibet.

Bencana berkenaan menyebabkan ratusan orang maut manakala kira-kira 2,000 lagi dilaporkan hilang, termasuk anggota pasukan keselamatan, pekerja sektor hidroelektrik serta lebih 500 warga asing,lapor portal nepalnews.com.

Pada peringkat awal, Kementerian Luar Nepal menolak tawaran bantuan operasi mencari dan menyelamat daripada beberapa negara, dengan alasan Tentera Nepal, Polis Nepal dan Pasukan Polis Bersenjata Nepal mempunyai keupayaan mencukupi untuk menjalankan operasi di kawasan pergunungan yang mencabar.

Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal, menjelaskan bahawa keutamaan diberikan kepada pasukan keselamatan tempatan bagi mengelakkan kekeliruan dari segi logistik serta risiko operasi di kawasan gaung dan laluan pergunungan yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, tekanan diplomatik daripada beberapa negara yang mahu mendapatkan perkembangan mengenai rakyat mereka yang masih hilang menyebabkan kerajaan Nepal mengubah pendekatannya kepada strategi yang lebih berfokuskan sasaran.

Walaupun anggota tempatan masih mengetuai operasi di lapangan, kerajaan kini membenarkan unit teknikal dari beberapa negara rakan, termasuk India, China, Korea Selatan dan Australia, menyertai misi berisiko tinggi.

Pakar antarabangsa akan dikerahkan khusus untuk menjalankan operasi menyelamat di bawah tanah yang kompleks, termasuk di dalam terowong hidroelektrik yang ditenggelami air.

Mereka turut membantu makmal tempatan dalam proses mengenal pasti mayat melalui kaedah forensik serta menjalankan ujian DNA secara besar-besaran.

Antara aset bantuan yang tiba ialah pasukan India yang menghantar unit perubatan dan peninjauan terowong seramai 11 anggota bersama pasukan penyelamat.

Sementara itu, Korea Selatan dan beberapa negara rakan lain turut menggerakkan pasukan tindak balas bencana khusus bagi membantu usaha pencarian yang sedang dijalankan.

Kerajaan Nepal bagaimanapun mengekalkan peranan utama pasukan keselamatan tempatan dalam operasi di lapangan, manakala bantuan antarabangsa akan digunakan bagi tugas-tugas yang memerlukan kepakaran dan teknologi khusus.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here