Tujuh warga Yemen ditahan selepas melakukan aksi berbahaya ketika menaiki dua kenderaan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dikesan berikutan video tular di Threads.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan sedang bergerak di Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Bukit Bintang ketika penumpangnya bertindak mengeluarkan badan dan duduk di atas tingkap pintu kenderaan.
“Lima daripada mereka adalah pelajar sebuah universiti awam di Kedah, manakala dua lagi lepasan universiti,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zamzuri berkata, hasil soal siasat terhadap pemandu mendapati aksi itu dilakukan semata-mata untuk berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan.
Beliau berkata, kesemua pemandu dan penumpang terlibat ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan cuai atau gopoh yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Zamzuri meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee atau mana-mana balai polis berhampiran.





