Jerebu: JAS nasihat sekolah,tadika,taska tutup serta-merta jika IPU lebih 200

JABATAN Alam Sekitar (JAS) menasihatkan sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata, pihak sekolah, tadika dan taska perlu sentiasa memantau bacaan IPU bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan pencemaran udara.

“Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200, persediaan perlu dilaksanakan lebih awal untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, aktiviti di luar bilik darjah juga perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.

Katanya, tindakan berkenaan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang dilaksanakan bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi menangani situasi jerebu.

“JAS melalui PTJK sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dan tindakan yang diambil adalah selaras dengan pelan berkenaan.

“Dalam masa sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam,” katanya.

Azuri Azizah berkata, Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.

“JAS bersama kementerian dan setiap agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif berdasarkan tindakan yang ditetapkan dalam PTJK,” katanya.

Untuk rekod, JAS mengklasifikasikan bacaan IPU sifar hingga 50 sebagai baik, 51 hingga 100 sebagai sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Terdahulu, media melaporkan Serian dan Samarahan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap berbahaya, setakat jam 9 pagi, hari ini.

Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 374, diikuti Samarahan (306), manakala Kuching (295) dan Sri Aman (214) masing-masing berada pada tahap sangat tidak sihat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here