Korban banjir Nepal meningkat kepada 734 orang, mangsa masih hilang 2,498 orang

ANGKA kematian akibat banjir dahsyat di sepanjang Sungai Bhotekoshi dan Trishuli di Nepal meningkat kepada 734 orang, manakala 2,498 lagi masih dilaporkan hilang, berdasarkan angka terbaharu kerajaan.

Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) dalam kemas kini operasi mencari, menyelamat dan bantuan yang dikeluarkan pada jam 9 pagi Ahad memaklumkan, sebanyak 734 mayat termasuk cebisan jasad manusia telah ditemui di beberapa daerah yang terjejas banjir.

Sebahagian besar mayat ditemukan ratusan kilometer dari lokasi kejadian selepas mangsa serta serpihan dihanyutkan arus deras di sepanjang Sungai Bhotekoshi dan Trishuli.

Jumlah individu yang masih hilang amat tinggi di Rasuwa, dengan pihak berkuasa daerah melaporkan 562 orang belum ditemui. Nuwakot pula merekodkan 115 orang hilang, manakala Makawanpur 65, lapor Kathmandupost.

Senarai mangsa hilang turut merangkumi 933 individu yang mempunyai kaitan dengan projek tenaga hidroelektrik, 589 warga asing serta 127 rakyat Nepal yang mengembara bersama mereka.

Seramai 85 anggota pasukan keselamatan turut dilaporkan hilang, termasuk 45 anggota Tentera Nepal, 27 anggota Polis Nepal dan 13 anggota Pasukan Polis Bersenjata.

Kerajaan berkata seramai 242 orang cedera, termasuk mereka yang masih menerima rawatan serta yang sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan di daerah terjejas dengan 19,895 anggota keselamatan dikerahkan.

Jumlah itu terdiri daripada 8,399 anggota Tentera Nepal, 7,213 anggota polis dan 4,203 anggota Pasukan Polis Bersenjata.

Setakat ini, pasukan keselamatan berjaya menyelamatkan 8,186 orang.

Helikopter memainkan peranan penting dalam operasi berkenaan, termasuk memindahkan 279 individu yang terperangkap di dalam terowong projek hidroelektrik dalam tempoh dua hari.

Sebanyak 227 warga asing turut diselamatkan menggunakan helikopter. Jumlah korban yang besar turut menimbulkan cabaran kepada pihak berkuasa dalam mengenal pasti identiti mangsa.

Mayat yang belum dikenal pasti dihantar ke 21 hospital di beberapa daerah untuk disimpan sementara menunggu proses pengecaman.

Kerajaan turut mula menyalurkan bantuan kewangan dan bekalan ke kawasan yang paling teruk terjejas.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here