`Kalau Menteri KKDW minta saya berhenti, saya berhenti, bukan desakan AMK’ – Asyraf Wajdi

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan itu hanya kerana desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) atau PKR.

Sebaliknya, beliau menjelaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Mara adalah berdasarkan pelantikan dan mandat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

AMK sebelum ini menggesa Asyraf Wajdi mengambil tanggungjawab susulan isu berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk meminta beliau turut disiasat berhubung perkara berkenaan.

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol dilaporkan berkata, siasatan itu tidak sepatutnya berhenti setakat itu sahaja dan kalau benar pihak berkuasa sedang menyiasat segala urusan dan keputusan yang berlaku ketika itu, maka semua pihak yang mempunyai kaitan wajar dipanggil dan diambil keterangan termasuk Asyraf Wajdi.

Menurut Asyraf Wajdi, hanya arahan daripada Menteri KKDW akan menentukan sama ada beliau kekal atau berundur daripada jawatan berkenaan.

“Tapi saya ini dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW.

“Saya hanya menurut saja. Kalau Menteri KKDW minta untuk saya berhenti, saya berhenti. Tapi bukan atas desakan AMK, Parti Keadilan,” katanya dalam sidang media menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Katanya, beliau akan akur sekiranya diminta berbuat demikian, namun bukan atas desakan pihak luar.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata tanggungjawabnya sepanjang menerajui Mara adalah memastikan institusi itu terus diperkasa, khususnya dalam agenda pendidikan dan pembangunan usahawan Melayu serta Bumiputera.

Katanya lagi, penekanan turut diberikan kepada usaha memperkemas tadbir urus Mara bagi memastikan reputasi institusi berkenaan terus dipelihara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here