Keputusan UMNO, BN tidak khianati Kerajaan Persekutuan – Asyraf Wajdi

KEPUTUSAN UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri bukan pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana tuduhan segelintir pihak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penegasan itu antara hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diputuskan malam ini.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat malam ini juga memutuskan UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti menjelang mana-mana pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, hubungan BN dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan terjejas sehingga pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dilangsungkan.

“UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 sehingga pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO di ibu negara malam ini.

Mengenai situasi politik di Johor, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan negeri itu dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, tanpa membabitkan parti daripada Pakatan Harapan (PH).

“Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri.

“UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti apabila menjelang mana-mana pilihan raya, termasuklah PRN Johor dan Negeri Sembilan yang bakal ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Dalam konteks kerjasama dengan parti lain, Asyraf Wajdi berkata, UMNO menyatakan keterbukaan sekiranya ada pihak mahu berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO menetapkan syarat kerjasama dengan parti terbabit.

“UMNO terbuka kepada apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat. Apa jua bentuk kerjasama mesti dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img