RCI TH: Dua bekas eksekutif anak syarikat TH tidak mengaku pecah amanah, subahat

DUA bekas eksekutif kanan sebuah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan pecah amanah dan bersubahat membabitkan kutipan penalti berjumlah RM72,000.

Bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd, Nasahruddin Ahmad, 56, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, manakala bekas Timbalan Pengurus Besar syarikat itu, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, didakwa dengan tiga tuduhan bersubahat.

TENGKU Kamarolhisham Tengku Kamaruddin (kanan) didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan kutipan penalti berjumlah RM72,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: The Sun

Nasahruddin dan Tengku Kamarolhisham, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan berkenaan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rosli Ahmad dan Azura Alwi, lapor BH.

THP Bina Sdn Bhd adalah anak syarikat pembinaan milik Lembaga Tabung Haji (TH) yang terbabit dalam pembangunan hartanah, termasuk projek Kompleks Islam Putrajaya.

Bagi tuduhan pertama, Nasahruddin diamanahkan dengan RM22,400 yang dikutip sebagai penalti daripada kontraktor Fourth Wave Sdn Bhd bagi projek pembangunan di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3.

Dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang berkenaan dengan memasukkannya ke dalam akaun miliknya sendiri antara 26 April dan 17 Disember 2013.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan RM25,600 yang dikutip daripada kontraktor sama antara 6 Februari dan 2 Disember 2014. Wang itu juga didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Nasahruddin turut didakwa menyalahgunakan RM24,000 lagi yang dikutip sebagai penalti daripada Fourth Wave antara 16 Februari dan 12 Ogos 2015.

Tengku Kamarolhisham pula didakwa bersubahat dengan Nasahruddin dengan sengaja mengarahkannya memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun bank milik Nasahruddin.

Ketiga-tiga pertuduhan terhadap Nasahruddin dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, manakala Tengku Kamarolhisham didakwa mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras yang bertindak bagi pihak pendakwaan dalam kedua-dua kes mencadangkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jumlah jaminan lebih rendah, dengan alasan ia bagi memastikan kehadiran mereka di mahkamah dan tidak sepatutnya bersifat menghukum.

Rosli kemudian membenarkan Nasahruddin diikat jamin sebnyak RM50,000, manakala Azura pula membenarkan Tengku Kamarolhisham dijamin dengan wang jaminan RM45,000.

Kedua-dua kes akan didengar di hadapan Rosli selepas pihak pendakwaan memohon supaya kes Tengku Kamarolhisham dipindahkan ke mahkamah yang sama.

Pendakwaan itu susulan SPRM semalam memaklumkan bahawa pihaknya membuka 14 kertas siasatan berikutan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH.

Daripada 14 kertas siasatan itu, empat diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

SPRM turut memaklumkan bahawa 11 individu direman berkaitan siasatannya, termasuk bekas pegawai kanan dan pengarah yang mempunyai kaitan dengan TH dan beberapa syarikat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here