PAS perlu mengisi kemenangan yang dicapai sekadar kemampuan, selain memperkukuh perjuangan Islam sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Muktamar Tahunan Pas ke-72 yang berlangsung hari ini turut menjadi medan menegaskan hala tuju parti.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Islam adalah penyelesaian berpandukan hidayah Allah dan keyakinan bahawa Islam ialah al-Din yang sempurna.
Katanya, Islam tidak sama dengan agama lain dan ideologi ciptaan manusia, selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Ma’idah ayat tiga.
Ujar beliau, Pas dikurniakan pertolongan atau nusrah daripada Allah selepas memenangi 43 kerusi Parlimen dan 149 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selain itu, kata Abdul Hadi, Pas turut mentadbir empat negeri selain melebarkan pengaruh di beberapa negeri pantai barat dan selatan tanah air.
“Kini, kita berkewajipan mengisi kemenangan sekadar kemampuan yang dicapai, walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Cabarannya jauh lebih besar daripada mencapai kemenangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.
Abdul Hadi menyifatkan Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 sebagai muktamar terpenting sebelum PRU-16 bagi menegaskan hala tuju parti.
Muktamar itu juga jelas beliau, menjadi persediaan parti untuk mengisi kemenangan, seterusnya mengorak langkah perjuangan ke tahap yang lebih tinggi.
Jelas beliau, muktamar kali ini mengangkat tema ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’, berpandukan firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 55.
Katanya, ayat berkenaan menyebut janji-janji kemenangan kepada kumpulan Islam yang beramal soleh serta berjuang menegakkan Islam.
“Pertama ialah ‘istikhlaf’, iaitu Allah berjanji memberikan kuasa mentadbir dan memimpin bumi kepada penganut Islam.
“Kedua ialah ‘tamkin’, iaitu Allah memenangkan Islam berdaulat atau berkuasa serta mengukuhkan kedudukan agama Islam dan umatnya.
“Ketiga ialah ‘al-amn’, iaitu Allah menukarkan perasaan takut kepada rasa aman sentosa apabila syariat Islam yang adil dilaksanakan dengan sempurna,” jelas Abdul Hadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, konsep keamanan itu berteraskan pelaksanaan syariat Islam yang adil kepada semua serta berkonsepkan ‘amar ma’ruf nahi munkar’.
Menurut Abdul Hadi, Allah SWT turut menegaskan dalam beberapa ayat lain bahawa kemenangan datang daripada-Nya dengan syarat tertentu mengikut peraturan dan sunnah tetap.
“Dia yang menentukan bila terlaksananya kemenangan, di mana, bagaimana, dan dalam tangan siapa,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan, Pas sebagai satu mata rantai perjuangan Islam akan terus berusaha memenuhi ciri-ciri kumpulan Islam.
Usaha itu menurutnya, berpandukan firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 104 mengenai kewajipan menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.
Beliau menjelaskan, pendirian berkenaan selaras dan menepati Perlembagaan Pas, khususnya tujuan serta usaha yang digariskan parti.
Menurutnya lagi, Fasal 5 (1) Perlembagaan PAS menetapkan tujuan memperjuangkan kewujudan masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana nilai hidup Islam serta hukum-hukumnya.
Usaha itu jelas beliau, menuju keredaan Allah, selaras dengan tujuan Pas memperjuangkan wujudnya masyarakat dan pemerintahan berdasarkan nilai kehidupan Islam.
“Fasal 6 (1) pula menetapkan usaha menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan,” jelasnya.
Fasal 6 (2) juga menurut beliau, menggariskan perjuangan Islam sebagai akidah dan syariat, selain menjadikannya panduan berpolitik serta bernegara.
Usaha itu jelas beliau, turut memperkenalkan nilai Islam dalam menegakkan keadilan dan kemajuan termasuk pemerintahan, pentadbiran, ekonomi, sosial, pelajaran serta pendidikan.
Beliau menjelaskan, Fasal 6 (3) pula menetapkan usaha memupuk dan memperkuat ukhuwah Islamiah serta menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, usaha berkenaan bertujuan memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat serta berkebajikan.
Pada ucapan dasar itu, Abdul Hadi turut menyampaikan pantun yang menggambarkan semangat perjuangan serta latar penganjuran muktamar di bumi Kelantan.
“Tok Janggut pahlawan Kelantan, Teguh berjuang demi kebenaran, Kita bermuktamar di bumi Kelantan, Teguhkan Islam menuju kemenangan,” katanya.




