Pas bawa konsep Negara Berkebajikan, WINS 2051 – Abdul Hadi

KEMENANGAN Pas bukan ruang untuk bermegah dengan kekuasaan, sebaliknya membawa tanggungjawab memimpin untuk memakmurkan bumi berpandukan petunjuk Allah SWT.

Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kuasa pemerintahan adalah wasilah bagi melaksanakan tanggungjawab memimpin, bukan untuk tujuan bermegah dengan kekuasaan.

Menurutnya, pengalaman Pas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberikan proses kematangan dalam memahami realiti pemerintahan.

“Atas asas inilah, Pas mengemukakan konsep ‘Negara Berkebajikan’,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.

Abdul Hadi berkata, Negara Berkebajikan adalah pemerintahan berpandukan petunjuk Allah SWT, berteraskan iman dan taqwa serta prinsip keadilan kepada semua.

Katanya lagi, kebajikan dilaksanakan secara menyeluruh dalam aspek politik, ekonomi dan sosial bagi mewujudkan kesejahteraan serta keberkatan hidup di dunia sehingga akhirat.

Konsep itu menurut Abdul Hadi, turut meletakkan kebajikan sebagai tanggungjawab bersama pemerintah dan rakyat, dengan keluarga serta masyarakat digerakkan melakukan kebajikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, persatuan, syarikat dan institusi hendaklah turut berlumba-lumba melakukan kebajikan, didukung sistem pemerintahan cekap, adil serta memberi manfaat kepada semua.

Tambahnya, Negara Berkebajikan bukan ‘welfare state’ yang mengukur kebajikan berdasarkan bantuan kebendaan kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, jelas beliau, konsep itu menyepadukan pembangunan material dengan pembangunan insan secara menyeluruh meliputi jasad, akal dan roh.

“Sehingga terbentuk masyarakat yang sejahtera, bertanggungjawab dan saling berkebajikan,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, ayat 177 surah al-Baqarah menunjukkan kebajikan dalam Islam mempunyai pengertian luas dengan menghubungkan iman dengan amal serta ibadat dengan tanggungjawab sosial.

Beliau turut mengaitkan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan sesama manusia sebagai sebahagian daripada pengertian kebajikan dalam Islam.

Pembangunan negara, jelas beliau, mesti dinilai melalui pembinaan manusia, kekuatan institusi, keadilan sosial, keharmonian masyarakat serta kesejahteraan kehidupan rakyat.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, bagi merealisasikan konsep Negara Berkebajikan, Pas mengemukakan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 atau ringkasnya WINS 2051.

Jelasnya lagi, WINS 2051 merupakan pelan induk jangka panjang yang menggariskan kerangka bernegara berteraskan Islam sebagai panduan pentadbiran.

Pelan itu menurutnya, turut menjadi panduan penggubalan dasar dan pembangunan secara berfasa sehingga tahun 2051.

Pemilihan tahun 2051 menurut Abdul Hadi, mempunyai makna tersendiri kerana menandakan satu abad penubuhan Pas sejak 1951.

“Bersempena muktamar pada tahun ini kita mengadakan Sambutan 75 Tahun Pas,” kata beliau yang juga bekas Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu.

Pada Fasa 1, iaitu Pemulihan Negara menurutnya, penekanan diberikan kepada usaha menyelesaikan permasalahan utama negara sebelum memasuki fasa seterusnya.

Fasa 2 pula katanya, mengangkat Malaysia sebagai ‘Negara Model’, manakala Fasa 3 memposisikan Malaysia sebagai ‘Negara Memimpin’ di peringkat antarabangsa.

Dalam tempoh terdekat, Abdul Hadi berkata, WINS akan dikemas kini dengan pelan tindakan lebih terperinci serta penanda aras lebih jelas bagi mengukur pencapaian.

“Pas akan bekerjasama dengan kalangan ilmuwan, profesional dan teknokrat untuk mengemas kini WINS, seterusnya mencari pendekatan terbaik untuk melaksanakannya pasca-PRU-16.

“Manakala di peringkat negeri, beberapa pelan induk jangka panjang telah dirangka sebagai panduan tadbir urus dan pembangunan negeri.

“Antaranya Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) di Kelantan, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) di Terengganu, Pelan Strategik The Greater Kedah di Kedah.

“Serta yang terbaharu, Pelan Strategik Ekonomi dan Pembangunan Insan untuk Selangor Mampan (EHSAN) di Selangor,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here