Timbalan PM tiada hak desak PM adakan PRU-16 segera – Hassan Abdul Karim

TIMBALAN Perdana Menteri tidak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendesak Perdana Menteri secara terbuka supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan dengan segera.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara berkaitan pembubaran Parlimen dan penetapan masa untuk mengadakan PRU-16 adalah dalam bidang kuasa prerogatif Perdana Menteri, termasuk untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, perkara itu tertakluk kepada Perkara 40(1) dan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Hassan, cara Jemaah Menteri atau Kabinet Kerajaan Persekutuan berfungsi adalah berasaskan dua doktrin utama iaitu Tanggungjawab Bersama Menteri (Collective Ministerial Responsibility) dan Tanggungjawab Menteri Secara Individu (Individual Ministerial Responsibility).

Tambah beliau, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

“Misalnya dalam satu perkara penting bilakah Parlimen Malaysia akan dibubarkan dan bila pula Pilihanraya Umum ke-16 diadakan, adalah terletak di bawah kuasa prerogatif Perdana Menteri.

“Kuasa Perdana Menterilah untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihanraya Umum ke-16 sebagaimana Perkara 40(1) dan tertakluk Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Hassan memberitahu, kedudukan seseorang menteri dalam Kabinet, termasuk yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan merupakan Presiden sebuah parti politik besar dalam kerajaan gabungan, tidak memberikan hak untuk mengetepikan prinsip tanggungjawab bersama Kabinet.

“Seseorang menteri di dalam Kabinet, walaupun dia seorang Presiden sebuah parti besar di dalam Kerajaan gabungan di Peringkat Persekutuan dan bertaraf Timbalan Perdana Menteri, perlu menyedari bahawa dia tidak ada hak di bawah Perlembagaan untuk mendesak Perdana Menteri secara terbuka supaya menurut kehendaknya agar PRU-16 diadakan dengan segera,” katanya.

Menurut Hassan, sekiranya seseorang menteri tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri berhubung masa PRU-16, termasuk keputusan untuk membiarkan Parlimen ke-15 melengkapkan tempohnya, terdapat tindakan yang sewajarnya untuk diambil.

Katanya, menteri berkenaan yang bertegas untuk tidak menerima keputusan Perdana Menteri wajar mempertimbangkan peletakan jawatan sebagai anggota Kabinet.

“Sekiranya menteri berkenaan dan parti politiknya tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri yang telah membuat keputusan sebelum ini bahawa PRU-16 akan diadakan sehingga tamat tempoh Parlimen ke-15, maka menteri yang berkenaan jika bertegas tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri itu, maka perkara yang munasabah dan bermaruah yang perlu dilakukannya ialah dengan meletakkan jawatan sebagai seorang menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan sedemikian sebagai selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hassan turut mendakwa tindakan seorang menteri yang secara terbuka mendesak Perdana Menteri berhubung perkara berkenaan boleh dilihat sebagai bertentangan dengan doktrin Tanggungjawab Bersama Menteri.

Beliau berkata, prinsip tersebut perlu dihormati bagi memastikan keputusan kerajaan dibuat dan dipertahankan secara bersama oleh anggota Kabinet.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here