UMNO menerima jemputan rasmi Pas untuk menghadiri persidangan mereka dengan hati terbuka selepas perkara itu dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penerimaan jemputan itu dibuat atas semangat sebagai orang Melayu dan Islam.
“Kami menerima jemputan secara rasmi dan kami bincang dalam Majlis Kerja Tertinggi dan sebagai orang Melayu dan orang Islam kita menerima jemputan ini dengan hati terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.
Asyraf Wajdi berkata, Pas juga dijangka menghantar wakil ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang akan berlangsung di ibu negara mulai 9 hingga 12 September depan.
Menurut beliau, UMNO hanya menghantar jemputan kepada pihak yang menjemput mereka menghadiri persidangan agung, ketika ditanya media mengenai jemputan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas kemungkinan perkembangan berkenaan menjadi titik perubahan baharu dalam usaha penyatuan Melayu, Asyraf Wajdi bagaimanapun menyifatkan ianya masih terlalu awal untuk diperkatakan.
Namun, beliau menegaskan UMNO mendukung Penyatuan Ummah sebagaimana harapan majoriti rakyat, tanpa menafikan kewujudan bangsa dan agama lain dalam negara.
“Penyatuan Ummah tidak bermakna kita menafikan bangsa-bangsa ataupun agama-agama lain. Teras negara kita, induknya Melayu dan Islam,” tegasnya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi menjelaskan, persiapan PAU 2026 berjalan lancar selepas sidang media khas sempena perhimpunan berkenaan diadakan semalam.
“Persiapan alhamdulillah, semalam kita sudah buat sidang media khas sempena Perhimpunan Agung UMNO dan insya-Allah kita menjangkakan perwakilan saja hampir 7,000 orang.
“Dan termasuk keluarga besar UMNO sepanjang daripada 9 hingga 12 (September) kita menjangkakan lebih daripada 50,000 orang akan hadir insya-Allah, sebab sambutannya luar biasa kali ini,” jawabnya.
Ditanya mengenai keadaan Barisan Nasional (BN) dan isu membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beliau menafikan wujud sebarang perkara panas dalam gabungan itu.
“Kumpulan BN? Apa yang panasnya BN? BN tak ada panas apa?. Keahlian komponen sekarang kita Rumah Bangsa besar dan sekarang ini alhamdulillah harmoni dan juga aman,” jelasnya.
Mengulas mengenai kerjasama UMNO dan Pas yang disifatkan berbeza berbanding Muafakat Nasional (MN) sebelum ini, Asyraf Wajdi menegaskan perkembangan itu bukan MN.
“Ini bukan MN. Ini kita sepertimana yang disebutkan oleh Presiden, kita mendukung apa juga agenda yang boleh memastikan harapan orang Melayu melihat dua parti terbesar ini dapat kita ada pemuafakatan yang baik.
“Dan yang paling penting ia boleh memberikan suatu aspirasi besar negara yang mahu melihat keadaan negara yang lebih politiknya stabil, harmoni dan makmur,” katanya.




