NILAI memorandum persefahaman (MoU) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencecah RM9.3 bilion, mengatasi sasaran awal RM8 bilion.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif sektor pertanian negara, termasuk dalam penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT).
Katanya, teknologi berkenaan kini semakin memainkan peranan penting dalam memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan keupayaan pengusaha.
“Pertanian ini, saya sendiri pun kagum dengan perubahan-perubahan yang kita tidak boleh menyangka.
“Perkembangan IoT dan AI dalam teknologi pertanian di Malaysia ini sangat mengagumkan,” katanya ketika sidang media di MAHA 2026, Serdang, hari ini.
Menurutnya, kerjasama yang dimeterai menerusi MoU bukan sekadar simbolik, sebaliknya sebahagiannya akan diteruskan kepada pelaksanaan sebenar termasuk dalam bidang eksport dan teknologi pertanian.
Mohamad berkata, perkembangan teknologi itu turut dapat dilihat menerusi penglibatan golongan muda yang semakin menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya.
Katanya, MAHA 2026 turut memberi ruang untuk menghargai golongan muda yang terlibat secara bersungguh-sungguh dalam bidang berkenaan, termasuk mereka yang menjadikan pertanian sebagai kerjaya sepenuh masa.
“Bukan anugerah itu nilai wangnya, tetapi nak beri penghargaan kepada mereka yang terlibat secara bersungguh-sungguh.
“Anak-anak muda ini terjun sepenuh masa sebagai kerjaya dalam bidang pertanian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, MAHA 2026 sehingga hari ketujuh merekodkan kehadiran 2.77 juta pengunjung dengan lebih 555,000 kenderaan memasuki kawasan pameran.
Beliau berkata, nilai jualan sepanjang penganjuran itu pula mencapai RM16.3 juta.
Mohamad turut menggalakkan orang ramai khususnya penduduk di Lembah Klang untuk hadir pada dua hari terakhir MAHA 2026, terutama bagi melihat perkembangan teknologi pertanian selain mendapatkan benih tanaman dan pokok.





