Malaysia-Macau perluas peluang kerjasama ekonomi dan hubungan rakyat

HUBUNGAN Malaysia dan Macau terus diperkukuh menerusi penerokaan peluang kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kewangan, sains dan teknologi, pendidikan serta industri konvensyen dan pameran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Macau (SAR), Sam Hou Fai yang melakukan lawatan sulung ke Malaysia sejak dilantik memegang jawatan itu pada Disember 2024.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Menurut beliau, pertemuan berkenaan turut membuka ruang bagi kedua-dua pihak memperluas hubungan ekonomi serta meneroka bidang baharu yang boleh memberi manfaat kepada Malaysia dan Macau.

Anwar turut mengalu-alukan pemeteraian beberapa perjanjian perniagaan antara syarikat dari kedua-dua wilayah, yang disifatkan mampu memperkukuh lagi hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Saya percaya kedudukan strategik Macau dan Hengqin yang terhubung dengan Greater Bay Area dapat dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan negara sebagai gerbang kepada perniagaan Macau untuk meneroka pasaran ASEAN.

“Di samping itu, kami menyentuh usaha memperluas hubungan rakyat menerusi pendidikan dan pelancongan, termasuk potensi kerjasama dalam sektor pelancongan halal dan mesra Muslim bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kesediaan Malaysia untuk memastikan hubungan yang semakin berkembang itu diterjemahkan kepada bentuk kerjasama yang konkrit dan memberi manfaat bersama.

Katanya, usaha berkenaan juga selaras dengan aspirasi Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dalam memperluas jaringan ekonomi dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here