SELEPAS 10 hari bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pasukan penyelamat Nepal akhirnya berjaya mengeluarkan dua pekerja yang terperangkap dalam sebuah terowong projek hidroelektrik akibat runtuhan.
Kedua-dua mangsa, Sanjay Shah, 30, dan Kabir Maharjan, 45, ditemukan masih hidup sebelum berjaya dibawa keluar dari terowong yang tertimbus susulan bencana banjir besar melanda kawasan Himalaya.
Shah dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala Maharjan terpaksa menerima rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU).
Menteri Tenaga Nepal, Biraj Bhakta Shrestha berkata, usaha menyelamatkan mangsa yang mungkin masih terperangkap di beberapa terowong lain diteruskan pasukan SAR.
Operasi berkenaan dilaksanakan selepas bencana yang berpunca daripada runtuhan glasier dan gunung di kawasan sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu.
Bencana itu dilaporkan mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,280 kematian, sementara lebih 5,500 individu masih belum ditemukan.
Kejayaan mengeluarkan Shah dan Maharjan memberi sedikit sinar harapan kepada pasukan penyelamat yang masih meneruskan pencarian mangsa yang hilang di kawasan terjejas.





