OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja yang hilang dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau berakhir hari ini selepas mangsa terakhir ditemukan petang ini.
Jasad Muhammad Haiman Fitri Supian,16, ditemukan oleh orang awam, jam 3.05 petang kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian.
Pegawai Operasi Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Maritim Mohamed Shafiee Bakar berkata, mayat remaja itu dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 4.30 petang untuk pengecaman daripada waris.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
“Secara keseluruhan, SAR mangsa lemas ini melibatkan keluasan 80 kilometer sehingga ke Tanjung Sedili,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.
Media sebelum ini melaporkan, enam remaja berusia 16 tahun lemas selepas mandi dengan dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.
Operasi SAR yang diaktifkan sejurus selepas kejadian kemudian menemukan Alif Taqiuddin Kamal Hasrul jam 1.25 petang pada Rabu, Muhamad Thaqif Rayyan Rumainoor jam 1.53 petang Khamis manakala Muhammad Adib Hafiy Kamal dijumpai jam 11.53 pagi semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad mengesahkan penemuan mayat terakhir itu dan memaklumkan operasi SAR ditamatkan jam 5 petang.





