Mayat mangsa kedua tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat ditemukan

MANGSA kedua daripada empat remaja yang lemas di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau di Bandar Penawar semalam, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) petang ini.

Pegawai Operasi Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, mangsa, Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, ditemukan kira-kira jam 1.53 petang dan disahkan ahli keluarga.

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) termasuk orang awam mengangkat mayat mangsa kedua yang ditemukan dalam operasi SAR empat remaja yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat di Tanjung Balau, Bandar Penawar hari ini. Dua lagi mangsa belum ditemukan. GAMBAR: Bernama

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di lokasi berhampiran penemuan mangsa pertama semalam,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini, lapor BH.

Mohamed Shafiee berkata, operasi SAR hari kedua diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), komuniti masyarakat serta nelayan tempatan.

GAMBAR empat remaja mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat

“Kita akan kekalkan radius pencarian dua lagi mangsa pada jarak dua batu nautika. Cabaran dihadapi adalah ombak besar setinggi 1.5 meter,” katanya.

Semalam, mangsa pertama, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16, ditemukan pada jam 1.25 petang.

Dua lagi mangsa yang masih belum ditemukan ialah Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, kedua-duanya berusia 16 tahun.

Media semalam melaporkan, empat remaja dikhuatiri lemas manakala dua lagi berjaya diselamatkan ketika mandi di pantai berkenaan kira-kira jam 8 pagi semalam.

Kejadian dipercayai bermula apabila seorang mangsa hampir lemas sebelum rakannya cuba menyelamatkannya tetapi turut dipercayai lemas.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here