DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan isu membabitkan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan didedahkan dalam tempoh beberapa minggu ini.
Perdana Menteri berkata, pendedahan itu bertujuan mengenal pasti kelemahan yang berlaku dalam institusi terbabit.
“Sama juga beberapa minggu ini kita akan dedahkan masalah Felda. Tabung Haji masih dalam siasatan dan tindakan.
“Felda tiap tahun ini pertanian, perladangan, peneroka apa berlaku, tiap tahun Kementerian Kewangan mesti sediakan RM980 juta ringgit dana untuk membayar hutang akibat kerugian Felda.
“Tiap tahun hampir RM1 bilion ringgit wang kerajaan, wang rakyat terpaksa bayar sebab bencana kita faham, tapi ini sebab pengurusan lemah dan amalan ambil hak rakyat oleh orang diberi amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang hari ini.
Menurut Anwar, keadaan itu bukan sekadar merugikan kerajaan, malah secara tidak langsung memangsakan peneroka Felda.
“Jadi kalau RM1 bilion tidak bayar, tidak payah kita bayar ganti. Apa kita buat, kita tolong peneroka.
“Sekarang umpamanya kita nak bantu, kalau kita ambil pilihan siap rugi Felda, jadi Felda bayar, bukan pengurusan dulu bayar,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan secara berperingkat bermula minggu ini.
Ia susulan dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan anak syarikat Felda.
Menurut Abd Halim, setakat ini sebanyak 12 individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.





