P-hailing maut terbabas, polis nafi kaitan lumba haram

SEORANG penunggang p-hailing maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri sebelum melanggar pokok di pembahagi jalan di Lebuh AMJ Semabok menghala ke Bandar Melaka, awal pagi ini.

Mangsa, Muhammad Hakimin A Samah, 24, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala, badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kemalangan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan lumba haram atau mat rempit.

Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 2.30 pagi ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kandang menghala ke Bandar Melaka.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal itu hilang kawalan sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan lalu terjatuh di pembahagi jalan.

“Tiada saksi awam di lokasi kejadian dan tiada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Halim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata polis menerima aduan awam kira-kira jam 3.10 pagi mengenai kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang disyaki terbabit dalam aktiviti mat rempit dan lumba haram.

Susulan itu, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Melaka Tengah menyalurkan maklumat kepada pegawai bertugas sebelum elemen polis berhampiran diarahkan menjalankan kawalan dan pemantauan di lokasi.

“Dalam operasi penguatkuasaan berkenaan, polis telah membuat dua tangkapan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara melulu dan membahayakan.

“Polis turut membuat sitaan terhadap lapan motosikal sepanjang operasi yang dijalankan di sekitar daerah Melaka Tengah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 97 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi berkenaan.

Beliau berkata, peningkatan aktiviti serta penganjuran pelbagai acara di Melaka yang menarik kehadiran orang luar turut menyumbang kepada pertambahan aliran trafik dan penggunaan motosikal di beberapa lokasi tumpuan.

“Polis Melaka Tengah akan terus mempertingkatkan rondaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan mat rempit selain memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here