PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan masih terlalu awal untuk menamakan calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, perkara itu tidak perlu dibincangkan ketika ini memandangkan tarikh pembubaran Parlimen dan PRU-16 masih belum diketahui.
“Terlalu awal untuk meletakkan seseorang atau sesuatu sosok tubuh untuk memegang jawatan itu (Perdana Menteri) kerana pilihan raya mungkin masih jauh atau mungkin (sebaliknya).
“Kita tidak tahu bila Parlimen dibubarkan. Saya fikir elok kita ketepikan soal itu dahulu dan tumpukan kepada menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian selepas merasmikan penutupan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan EduCity di Iskandar Puteri hari ini, lapor BH.
Ahmad Zahid berkata, tumpuan ketika ini adalah kepada PRN Melaka sebelum sebarang perbincangan berkaitan politik di peringkat Persekutuan dibuat.
Ditanya mengenai kerjasama parti politik bagi menghadapi PRN Melaka, beliau berkata, perkara itu hanya akan diputuskan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, parti itu mempunyai calon Perdana Menteri daripada kalangan pemimpin parti berkenaan untuk menghadapi PRU-16, namun belum tiba masanya untuk mendedahkan individu berkenaan.
Menurut Abdul Hadi, penentuan calon Perdana Menteri hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding dalam pilihan raya berkenaan.





