DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini sempat menghubungi bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore bagi bertukar pandangan mengenai isu perubahan iklim global dan usaha memperkukuh agenda tenaga bersih.
Menerusi hantaran di Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, perbincangan itu turut menyentuh situasi jerebu yang melanda Malaysia susulan kebakaran hutan di Indonesia.
Menurut beliau, antara perkara yang dibincangkan ialah komitmen serta langkah yang sedang dilaksanakan Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih serta mampan.
“Perbincangan menyentuh komitmen serta langkah yang sedang digerakkan Malaysia dalam melaksanakan peralihan tenaga, daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan,” kata Anwar dalam hantaran itu.
Perdana Menteri berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada iltizam Kerajaan MADANI untuk membangunkan negara yang bukan sahaja kukuh dan berdaya tahan dari sudut ekonomi, malah memberi perhatian terhadap kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kesejahteraan generasi akan datang terus terpelihara, selain menangani cabaran perubahan iklim yang semakin kompleks.
Dalam perbualan itu, Anwar turut mengundang Al Gore untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat.
Menurut beliau, kunjungan berkenaan diharap dapat membuka ruang kepada perbincangan lanjut serta kerjasama yang lebih bermakna dalam menangani perubahan iklim dan mempercepatkan agenda peralihan tenaga Malaysia.





